Now Playing Ucapan hari lahir daripada 'musuh' politik Tun M

SHAH ALAM - Meskipun 'bermusuh' dan berbeza ideologi politik, beberapa pemimpin Umno tetap menzahirkan ucapan hari lahir kepada Perdana Menteri tertua di dunia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Antaranya, Pemantau Kerajaan Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam yang turut sama menitipkan ucapan selamat buat Pengerusi Bersatu itu dengan mendoakan agar beliau dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki.

Beliau juga mendoakan Dr Mahathir ‘dibuka pintu hatinya’ untuk selamatkan orang Melayu dan Islam.

"Saya juga berharap beliau berhenti dari terus dipergunakan DAP dan kalau boleh gerakkan untuk satukan semua ahli Parlimen Melayu untuk duduk di bawah satu bumbung.

"Walaupun bila beliau perintah dan semua orang Melayu bersama beliau, mungkin saya lagi teruk dilanyak Dr Mahathir tapi saya reda.

Asalkan ia boleh selamatkan orang Melayu dan juga Islam," katanya ketika ditemui semasa menghadiri Wacana Sinar Harian kali ke-64 di Auditorium Karangkraf, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir turut menzahirkan ucapan hari lahir buat perdana menteri.

"Selamat hari jadi, semoga beliau terus diberikan kesihatan berada dalam lindungan ALLAH, semoga beliau dapat melaksanakan tanggungjawab beliau sebagai perdana menteri dengan adil dan juga dapat mengelakkan daripada perkara yang tidak baik kepada negara.

"Dan yang paling penting sebagai perdana menteri, beliau dapat laksanakan tugasnya dengan baik," katanya.

Selain mereka, Ketua Pemuda Umno Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut mendoakan agar Dr Mahathir menjadi pemimpin yang boleh merealisasikan Malaysia Baharu seperti diimpikan rakyat.

"Bermakna kerajaan menyuburkan nilai-nilai demokrasi, bukan berteraskan kepada nilai benci dan dendam. Apa yang penting, kita bina Malaysia baru yang subur nilai demokrasinya.

"Ia juga bermakna kerajaan tidak menekan mana-mana pihak yang mempunyai pandangan berbeza dengan mereka," katanya ketika ditemui selepas wacana berkenaan.

Exco Wanita Umno Malaysia, Datin Mastura Mohd Yazid turut mengucapkan selamat kepada Dr Mahathir namun nadanya sedikit berbeza berbanding yang lain.

Dalam ucapannya, Mastura berharap supaya kerajaan sekarang mendengar segala rintihan rakyat dan memohon supaya institusi Melayu dan Islam dipelihara sebaiknya.

"Selamat Hari Lahir kepada Tun Dr Mahathir. Saya merayu supaya kerajaan yang ada sekarang mendengar segala rintihan rakyat dan Umno juga bersama rakyat memohon supaya institusi Melayu dan Islam itu dipelihara, dijaga sehingga akhir zaman," ujarnya.

Sementara itu, Dr Mahathir Mohamad menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat yang menyampaikan ucapan selamat hari lahir kepada beliau, hari ini.

“Saya ucap berbanyak terima kasih kerana begitu ramai daripada orang ramai yang telah sampaikan ucapan selamat hari lahir berkenaan dengan kelahiran saya 93 tahun dahulu, pada 10 Julai.

“Saya harap mereka yang telah hantar mesej hari jadi ini dapat membantu saya dalam usaha saya menjalankan tugas. Saya ucap terima kasih sekali lagi,” katanya menerusi rakaman video yang dipaparkan di laman rasmi Twitter beliau.

Komen
Berita Terkini