Bekas pegawai khas Najib terkejut ada US$884,996 dalam akaunnya
Bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sangat terkejut apabila dimaklumkan sejumlah US$884,996.78 Dolar Amerika Syarikat ada di dalam akaun BSI Switzerland miliknya awal 2016 tetapi beliau tidak pernah menggunakan wang itu dan tidak tahu apa status wang tersebut sehingga kini kerana ianya diuruskan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang dikenali sebagai Jho Low.
Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, ketika membacakan penyataan saksinya berkata beliau menerima panggilan daripada BSI Switzerland di mana seorang pegawai BSI bertanyakan sekiranya beliau mengetahui baki akaunnya.
Saksi pendakwaan kelapan itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pada hari keempat perbicaraan kes Najib yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.
Kata saksi itu, Jho Low kemudian mengarahkannya untuk membuka akaun bank di Shanghai memandangkan dalam tempoh itu memang ada urusan di China dan terdapat keperluan untuk ke sana.
Amhari Efendi menjelaskan bahawa Jho Low telah membantu secara peribadi untuk membuka akaun tetapi permohonan pembukaan akaun itu tidak berjaya.
Mahkamah lucut hak RM4.9 juta dari Yayasan Permata
Mahkamah Tinggi di hari ini membenarkan permohonan kerajaan untuk melucut hak dana 1MDB bernilai RM4.9 juta dari yayasan pendidikan awal kanak-kanak, Yayasan Permata yang kini dijenamakan semula sebagai Yayasan Genius.
Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat perintah itu selepas setiausaha yayasan itu, Noraisah Spahat memberitahu mahkamah pihaknya tidak ada bantahan terhadap permohonan tersebut.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim berkata tiada pihak ketiga yang tampil membuat tuntutan berhubung dana tersebut.
Begitu juga, katanya, tidak ada pihak ketiga yang tampil untuk mencabar permohonan pelucuthakan yang difailkan terhadap bekas menteri Kasitah Gaddam, Umno Johor, ahli perniagaan Bustari Yusof, Umno Selangor, Parti Demokrat Liberal (LDP), Jakel Trading Sdn Bhd, Media Edge CIA ( M) Sdn Bhd dan Yayasan PBAKM.
Bekas pengarah urusan Felcra didakwa 33 pertuduhan rasuah RM1.6 juta
Bekas pengarah urusan Felcra Training & Consultancy Sdn Bhd, Rohaizat Ahmad mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa kerana menerima suapan berjumlah RM1.648 juta.
Rohaizat Ahmad yang didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, meminta dibicarakan selepas 2 jurubahasa mengambil 25 minit untuk membacakan 33 pertuduhan itu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Rohaizat antara lain didakwa menggunakan jawatan dan kedudukannya sebagai pegawai badan awam untuk mendapatkan suapan bagi saudaranya antara April 2014 hingga Jun 2018.
Dia didakwa melantik syarikat Al Maisan Enterprise milik menantunya dan saudaranya yang mempunyai kepentingan dalam syarikat itu sebagai pembekal peralatan elektronik.
TDM tubuh lembaga siasatan kematian anak AR Badul
Tentera darat (TDM) akan menubuhkan lembaga siasatan untuk menentukan punca kematian anak seniman veteran, AR Badul, hari ini.
TDM dalam kenyataannya mengesahkan Mejar Mohd Zahir Armaya maut ketika menyertai demonstrasi keupayaan sempena gimik pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah.
Zahir, 36, yang merupakan anggota komando 11 Rejimen Gerak Khas, Kem Sungai Udang di Melaka, meninggalkan seorang balu dan 5 anak berusia 5 bulan hingga 9 tahun.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, Zahir menghembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu pada 9.20 pagi tadi.
Sementara itu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi mengucapkan takziah kepada balu dan keluarga Zahir.
“Teh tarik satu” pesan Agong ketika singgah restoran di Putrajaya
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi menunjukkan sisi bersahaja dan merendah diri baginda sewaktu dirakam sedang bersantap di sebuah restoran.
Foto tersebut disiarkan menerusi laman Instagram rasmi Istana Negara, sewaktu baginda mencemar duli di restoran Nasi Lemak Royale Kedah, Putrajaya.
Menerusi video yang dikongsi, baginda dilihat memesan minuman dan berbual dengan beberapa individu yang berada di lokasi itu.
Ia bukanlah kali pertama Sultan Abdullah dirakam sedang menikmati hidangan di restoran biasa seperti orang kebanyakan.
Sebelum ini, baginda pernah menjadi perhatian sewaktu berkunjung ke restoran makanan segera KFC di Temerloh, Pahang.