1. Bekas ahli UMNO boleh masuk Bersatu: Dr Mahathir
Ahli UMNO yang keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas kini boleh menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Namun Perdana Menteri berkata hanya bekas ahli UMNO yang tidak mempunyai masalah, umpamanya kes di mahkamah sahaja yang boleh diterima.
Semasa ditanya mengenai jumlah bekas ahli UMNO yang telah menyertai Bersatu, Dr Mahathir berkata tiada anggaran yang dapat diberikan setakat ini.
Namun apabila ditanya jika ada bekas ahli UMNO yang menyertai Bersatu akan bertanding dalam pemilihan parti, Dr Mahathir berkata pada waktu ini belum ada.
2. Saman lucut hak: SPRM diarah namakan penjawat utama dalam Umno Pekan
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan SPRM memfailkan pindaan ‘notis usul’ untuk saman bagi pelucuthakan berkaitan 1MDB terhadap Umno Pekan dalam tempoh tujuh hari, bermula hari ini.
Jika tidak, tindakan undang-undang itu akan diketepikan.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu kerana saman itu tidak menamakan penjawat-penjawat utama dalam Umno Pekan sebagai responden.
Difahamkan bekas perdana menteri merangkap anggota parlimen Pekan iaitu Datuk Seri Najib Razak memegang jawatan dalam Umno bahagian itu.
Nazlan sebelum ini menolak permohonan Umno Pekan untuk mengetepikan saman itu atas alasan notis itu gagal mematuhi Seksyen 9(c) Akta Pertubuhan.
3. Tolak ‘petisyen rambut’ pelajar, warga maya kecam Saddiq
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengundang bidasan dalam kalangan warga maya susulan tindakannya yang menolak petisyen dalam talian seorang pelajar tingkatan 1 yang mencadangkan agar pelajar sekolah lelaki dibenarkan berambut panjang.
Syed Saddiq dalam ciapannya malam tadi sebaliknya berkata pelajar berkenaan, iaitu Darrell James, seharusnya fokus pada pengajiannya.
Walau bagaimanapun, ciapannya itu tidak diterima dengan baik oleh semua.
Aktivis pemuda dan pengasas pergerakan Undi18, Nur Qyira Yusri, berkata pelajar berhak mempunyai suara sendiri dan ianya perlu didengari.
4. Brazil larang aktiviti pembakaran selama dua bulan
Presiden Brazil, Jair Bolsonaro dilaporkan menandatangani dekri melarang aktiviti pembakaran di seluruh negara selama dua bulan.
Langkah itu dilakukan di tengah-tengah kekalutan usaha memadamkan kebakaran hutan hujan Amazon yang mencetuskan protes global.
Kebakaran yang melanda hutan hujan terbesar dunia itu turut mengakibatkan pertengkaran diplomatik antara Brazil dan Eropah yang mengancam menggugat perjanjian perdagangan.
5. Malaysia #QuranHour berlangsung hari ini
Malaysia #QuranHour yang memasuki edisi kelima penganjurannya berlangsung hari ini dengan membawa tema ‘Bangsa Berbudi dan Penyayang’.
Tahun ini, surah Al-Kahfi dipilih sebagai surah tema seiring dengan panduan untuk menghadapi cabaran akhir zaman.
Menariknya juga, Malaysia #QuranHour yang berlangsung di Masjid Putra turut diadakan bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke- 62 yang akan disambut esok.