Azmin yakin video kontroversi ditular ahli PKR sendiri
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin penularan video seks kontroversi yang dikaitkan dengannya dilakukan oleh pihak dalaman parti.
Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR itu juga yakin penularan video kontroversi itu merupakan agenda politik pihak tertentu yang bertujuan mahu menyekat kemaraan dan prestasinya dalam kerajaan serta bidang politik.
Mohamed Azmin turut menegaskan beliau akan memberikan keutamaan dan kerjasama penuh kepada polis untuk menyiasat penularan video seks kontroversi itu malah menyifatkan dakwaan yang dikaitkan dengannya sebagai kejam serta jahat.
Ditanya mengenai ada pihak mencadangkan beliau membuat sumpah laknat bagi menafikan kaitannya dengan video tersebut, Mohamed Azmin memberitahu sebarang tindakan yang diambilnya adalah berdasarkan kepada nasihat serta pandangan peguamnya.
Wan Azizah tak lepas jawatan TPM sebelum Anwar jadi PM
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata beliau tidak akan melepaskan jawatannya sebagai timbalan perdana menteri sehingga Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih kepimpinan negara daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.
Penegasan Wan Azizah itu sekali gus menolak gesaan supaya beliau melepaskan jawatannya untuk memberi laluan kepada Anwar dilantik menjadi timbalan perdana menteri yang baru dan seterusnya mengambil alih kepimpinan negara sebagai perdana menteri ke-8.
Kata beliau perkara itu tidak berbangkit kerana perjanjian dengan Mahathir sudah pun dimeterai.
Terdahulu, Bendahari Bersatu Selangor, Mohd. Shaid Rosli berkata, Wan Azizah perlu meletakkan jawatan terlebih dahulu jika PKR mahu peralihan kuasa di antara Dr. Mahathir dan Anwar berlaku dalam tempoh berbaki setahun lagi.
Perlis rugi RM26.4 juta kerana rakyat liat bayar cukai: MB
Menteri besar Perlis berkata masalah pembayar cukai enggan melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap kerajaan negeri berlaku sejak sekian lama, selepas Raja Perlis mendakwa kerajaan negeri mengalami kerugian dalam penguatkuasaan cukai kira-kira RM26.4 juta setiap tahun.
Datuk Azlan Man berkata, pada awalnya jumlah pembayar cukai yang gagal melaksanakan tanggungjawab tidak ramai, namun jumlah itu meningkat setiap tahun menyebabkan kadar cukai yang tidak dikutip semakin bertambah.
Terdahulu, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail kesal dengan tindakan segelintir pemimpin parti politik di negeri berkenaan yang menggunakan kedudukan bagi membantu rakan-rakan mengelak dari membayar cukai.
Raja Perlis bertitah, disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab itu, kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM26.4 juta setiap tahun.
Menurut Tuanku Syed Sirajuddin, sekiranya tidak berlaku perkara sedemikian, kerajaan negeri sepatutnya mampu memperolehi sebanyak RM128.9 juta melalui penguatkuasaan cukai.
Penghantaran makanan guna dron bakal dilaksana di Cyberjaya
Berita baik buat warga Cyberjaya. Mulai penghujung bulan ini, mereka bakal menikmati perkhidmatan penghantaran makanan menggunakan dron.
Average Drone Sdn Bhd, sebuah syarikat tempatan yang berkecimpung dalam industri dron sejak 2014, merancang untuk mewujudkan khidmat tersebut dalam masa terdekat dengan kerjasama Futurise, sebuah anak syarikat Cyberview di bawah Kementerian Kewangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Average Drone Sdn Bhd, Hamdee Hamdan berkata pada masa ini perancangan tersebut yang merupakan projek percubaan selama tiga bulan akan melibatkan penghantaran makanan di kawasan berada dalam lingkungan 2km dari bangunan Futurise.
Beliau berkata hanya tujuh jenis makanan akan ditawarkan dalam tempoh percubaan itu melibatkan makanan jenis mi, bihun, nasi, burger, sandwic, kuih dan buah-buahan.
Beliau menjangkakan tempoh daripada proses tempahan sehingga makanan itu sampai ke destinasi pesanan, mengambil masa selama 12 minit dan kos penghantaran adalah sebanyak RM2.50 bagi setiap perjalanan.
Bibi Ramjani umum letak jawatan Presiden KAFA
Bibi Ramjani Ilias Khan melepaskan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), hari ini.
Perkara itu diumumkan menerusi laman sosial Facebook rasminya, hari ini.
Beliau yang memohon maaf sepanjang memimpin KAFA turut turut mengucapkan terima kasih kepada penyokong Kelantan.
Bibi Ramjani menjawat jawatan Presiden KAFA pada September 2017 sekali gus memecah tradisi sebagai wanita pertama memimpin jawatan itu di Kelantan.
Usahawan wanita itu sepatutnya memimpin persatuan itu bagi penggal 2017 hingga 2021, namun melepaskan jawatan hari ini dipercayai susulan kemelut dalaman yang berlaku dalam persatuan itu.