AMK tolak keputusan Lembaga Disiplin PKR, mahu Haziq dipecat
Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) menolak keputusan Lembaga Disiplin PKR yang memberikan tempoh 14 hari kepada Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz untuk menjawab surat tunjuk sebab.
Naib Presidennya, Nazree Mohd Yunus berkata, pimpinan AMK yang bermesyuarat pada malam semalam kekal dengan pendirian tegas bahawa Haziq perlu dipecat dari parti serta-merta.
Menurutnya, AMK berharap agar keputusan tersebut dapat disemak dan diteliti semula oleh Lembaga Disiplin dan kepimpinan parti.
Mesyuarat yang berlangsung selama lebih satu jam itu bagaimanapun tidak disertai oleh Ketua AMK, Akmal Nasir.
Terdahulu, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim berkata, surat tersebut dikeluarkan kerana Haziq Abdullah telah mencemar nama parti dengan mengeluarkan kenyataan umum yang jatuhkan maruah parti.
Pemuda parah ditembak polis trafik
Seorang pemuda cedera parah pada lengan kiri akibat ditembak anggota polis trafik dalam kejadian di lampu isyarat Jalan Langgar berhampiran Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar semalam.
Kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu berlaku ketika pemuda terbabit, Muhammad Alif Aiman Anuar, 21, membonceng motosikal jenis Sym ditunggang rakan lelakinya berusia lingkungan 20-an.
Ibu kepada pemuda itu, Hashimah Mahmood, 49, mendakwa, anaknya ditembak kerana rakannya enggan memberhentikan motosikal walaupun telah diarahkan berbuat demikian oleh anggota polis terbabit.
Dakwanya, tembakan itu mengakibatkan anaknya terjatuh daripada motosikal dan anggota polis trafik kemudian menahan kedua-dua mereka dan membuat pemeriksaan ke atas beg tetapi tidak menemui barang salah.
3 warga Rusia, 1 Ukraine dituduh tembak jatuh MH17
Empat lelaki dituduh bertanggungjawab dalam penembakan jatuh pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 di timur Ukraine pada 2014, lapor media British, BBC.
Penyiasat Belanda menuduh 3 warga Rusia – Igor Girkin, Sergey Dubinskiy dan Oleg Pulatov, serta seorang warga Ukraine, Leonid Kharchenko terlibat dalam peristiwa yang meragut nyawa 283 penumpang dan 15 anak kapal itu.
Nama itu diumumkan dalam sidang media pasukan siasatan bersama (JIT) di Utrecht, Belanda.
Pasukan itu turut mengumumkan pertuduhan ke atas 4 tertuduh itu dan perbicaraan yang dijadualkan pada 9 Mac 2020.
Boeing 777 yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu ditembak jatuh misil BUK buatan Rusia pada 17 Julai 2014 ketika melintasi sempadan timur Ukraine yang dikuasai puak pemisah pro-Rusia.
Ada bukti Putera Mahkota Arab Saudi terlibat bunuh Khashoggi
Terdapat bukti yang boleh dipercayai tentang pembabitan Putera Mahkota Mohammed bin Salman dan pegawai-pegawai peringkat tertinggi terlibat dalam pembunuhan Jamal Khashoggi.
Laporan oleh pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Agnes Callamard berkata, keterangan itu bersesuaian dengan siasatan antarabangsa yang bebas dan adil.
Ejen-ejen Arab Saudi telah membunuh wartawan itu di dalam konsulat milik negara itu di Istanbul meskipun Riyadh menegaskan mereka yang terlibat itu tidak bertindak atas perintah Putera Mohammed.
Riyadh memberitahu, negara itu telah mengenal pasti 11 orang yang dipercayai dalang pembunuhan Khashoggi dan lima daripada mereka akan menghadapi hukuman mati.
Gempa 6.3 magnitud gegar Papua Indonesia
Gempa bumi berukuran 6.3 magnitud menggegarkan Papua di timur Indonesia semalam, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan, kata pakar seismologi Amerika Syarikat (AS).
Menurut Pusat Kajian Geologikal AS (USGS), gegaran dikesan 250 kilometer di barat bandar Abepura, wilayah Papua kira-kira jam 12.46 pagi (waktu tempatan) pada kedalaman 12 kilometer.
Gegaran di Abepura dikatakan agak lemah dan kebanyakan penduduk tidak menyedarinya.
Indonesia sering dilanda aktiviti seismik dan gunung berapi akibat kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik.