1. Ada pemimpin PH dah berani pamer kemewahan: Anwar
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bibit-bibit mempamer limpahan kekayaan didakwa sudah mula menonjol di kalangan pimpinan Pakatan Harapan.
Sehubungan itu katanya, sebelum ‘sakit’ ini semakin parah dan membarah, maka adalah lebih baik sekiranya badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat menegur kelompok yang berkuasa tersebut.
Kata beliau, jika dibiarkan, mungkin akan timbul kritikan sinis yang mengatakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berani mengambil tindakan terhadap pemimpin yang berkuasa.
Namun, katanya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menjawab persoalan tersebut iaitu, rasuah bukan monopoli UMNO dan BN semata-mata, sebaliknya ia melibatkan semua.
2. PTPTN jangan tekan peminjam belum bekerja: Anwar
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) harus memberi kelonggaran sebelum memperkenalkan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam-peminjam yang gagal membayar balik pinjaman.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar PTPTN tidak membuat keputusan yang menekan peminjam.
Beliau berkata, pihak PTPTN seharusnya memberi kelonggaran kepada peminjam terutamanya kepada mereka yang belum mendapat pekerjaan.
Terdahulu, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, cadangan supaya PTPTN menguatkuasakan semula sekatan terhadap peminjam culas merupakan antara idea yang dikemukan pihaknya berkaitan hasil daripada sesi libat urus yang dijalankan.
3. Kes bunuh jururawat: Aliwajuwon diberkas
Seorang lagi lelaki yang disyaki terlibat dalam kes bunuh Ketua Jururawat Hospital Serdang ditahan semalam.
Lelaki Nigeria, Aliwajuwon Gilbertalowonle yang diburu sebelum ini bagi membantu siasatan kes itu ditahan di sekitar Cheras Sentral semalam pada jam 3 petang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat mengesahkan penahanan lelaki terbabit.
Terdahulu, polis menahan dua individu iaitu seorang wanita Nigeria berumur 35 tahun dan seorang lelaki Pakistan berumur 38 tahun di sekitar Kuala Lumpur.
4. Penjawat awam dapat bonus Aidilfitri RM450
Kerajaan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM450 kepada hampir 1.5 juta penjawat awam dari Gred 56 dan ke bawah sebagai persediaan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri 2019.
Menurut Pejabat Perdana Menteri, bantuan khas ini juga akan turut dinikmati oleh hampir 800,000 pesara Kerajaan sebagai menghargai jasa perkhidmatan dengan jumlah bayaran sebanyak RM225.
Pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat pada 24 Mei ini.
5. Suami selalu curang punca Bella tuntut cerai
“Suami selalu curang, saya ada bukti gambar dan video,”ujar isteri kepada penyanyi dan pelakon Aliff Aziz, Bella Astilllah kepada hakim syarie Izzat Syazli Murhshid ketika ditanya punca dia bertindak menuntut cerai.
Malah menurut Bella, mereka sudah tidak bersefahaman dan sudah tiga bulan tidak tinggal sebumbung.
Terdahulu Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz sah bercerai talak satu dengan isterinya Bella Astillah di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan semalam.