Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi rentung selepas kenderaan yang ditungganginya bertembung dengan sebuah bas lalu terbakar di Jalan Bulat, di Sarikei Sarawak, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa dilaporkan menunggang dengan laju selepas memotong sebuah lori sebelum hilang kawalan dan bertembung dengan bas dari arah bertentangan lalu terperosok di bawah kenderaan itu.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, PBK II Haron Jenai berkata, mangsa yang berasal dari Kuching dan menetap di Betong itu dikatakan mengikuti konvoi motosikal berkuasa tinggi ke Sabah semasa kejadian tersebut.
Beliau berkata pihak bomba mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk memadam kebakaran bas tersebut sebelum mengeluarkan mangsa dari bahagian bawah kenderaan tersebut.
Bas yang sedang dalam perjalanan dari Sibu ke Sarikei itu membawa empat penumpang.
Katanya, kesemua penumpang, pemandu dan seorang konduktor bas berjaya keluar dari bas tanpa mengalami sebarang kecederaan.