Hampir 200 pelajar sekolah rendah dan menengah di Kedah dikesan terlibat dalam penyalahgunaan daun ketum sepanjang tahun lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Dr. Salmee Said berkata, jumlah itu sangat membimbangkan dan tindakan tegas seperti memusnahkan semua tanaman ketum perlu dipergiatkan bagi mengekang gejala ketagihan air ketum.
Katanya, tindakan tegas tersebut bukan sahaja melibatkan ladang ketum, malah pokok-pokok ketum yang ditanam berhampiran rumah juga wajar dihapuskan.
Kata beliau, pokok ketum banyak ditanam di Padang Terap, Ayer Hitam termasuklah kawasan Kota Siputeh.
Beliau berkata, pelajar-pelajar luar bandar sangat mudah terdedah dengan penyalahgunaan air ketum dan lebih serius ada yang membawa minuman terlarang itu ke sekolah.
Sementara itu, Salmee berkata, berdasarkan statistik tahun lalu, lebih 400 pelajar di Kedah terbabit dengan penyalahgunaan dadah dan daun ketum.