5 maut, kereta bertembung bas ekspres di Raub
Lima individu, termasuk sepasang suami isteri dan seorang kanak-kanak berusia enam tahun, maut selepas kereta Proton Pesona yang dinaiki mereka bertembung dengan bas ekspres di Kilometer 325 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu, berhampiran Kampung Jeram Besu, awal pagi hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.54 pagi itu mangsa yang maut adalah pemandu dan penumpang kereta Proton Pesona.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Zahari Wan Busu, berkata mangsa yang maut adalah Mohd Sajury Abdullah, 63; isteri, Sobariah Haron, 54; Muhammad Faezuan Nor Izuddin, 26; Nur Ilham Najwa Rahimi, 20; dan Uwais AlQurney Abdullah, 6.
Beliau berkata, bas ekspres yang membawa 45 penumpang itu dalam perjalanan dari Kota Bharu menghala ke Kuala Lumpur manakala kereta Proton berkenaan dalam perjalanan ke Kota Bharu.
Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta Proton Persona yang dipandu Mohd Sajury dikatakan hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh bas ekspres berkenaan.
Akibat rempuhan berkenaan, Proton Pesona terjunam ke dalam longkang manakala bas ekspres itu terbabas dan melanggar dua lot kedai di kiri jalan.
Jual Bangunan Konsulat di Hong Kong: Najib akan minta Anifah jawab
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendesak Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk memberi komen balas terlebih dahulu terhadap dakwaan bahawa kerajaan BN menjual sebuah bangunan konsulat di Hong Kong.
Najib menegaskan beliau hanya akan menjawab berkenaan penjualan bangunan tersebut selepas Guan Eng memberikan respon balas.
Katanya, selepas Guan Eng komen, beliau akan jawab dan akan dapatkan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman untuk menjelaskannya.
Dua hari lalu, di Dewan Rakyat, Menteri Kewangan mendedahkan, Najib adalah individu bertanggungjawab meluluskan penjualan penjualan Bangunan Malaysia di Hong Kong ketika beliau masih berkuasa.
K’jaan belanja RM14 juta selenggara Equanimity sejak Ogos
Kerajaan membelanjakan kira-kira RM14.22 juta bagi penyelenggaraan kapal layar mewah Equanimity sejak ia diserahkan pada Ogos lalu.
Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis Parlimen semalam berkata, RM11 juta dibelanjakan untuk kos penyelenggaraan, pembaikan, bahan api, guaman, insurans serta kos berkaitan proses penjualan kapal, sejak Ogos hingga Disember 2018.
Baki RM3.22 juta pula adalah kos untuk Januari hingga Mac tahun ini, katanya lagi.
Kerajaan berhasrat menjual kapal itu menerusi bidaan tetapi dikatakan berdepan masalah mendapatkan harga yang disasarkan, iaitu lebih AS$100 juta dolar Amerika Syarikat.
Pengkritik model kereta terbang boleh naik kereta buluh: Redzuan
Netizen yang mengecam model kereta terbang yang dipamerkan di Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) dibidas supaya berpandangan lebih jauh berbanding mengkritik kemajuan yang bakal dibangunkan oleh negara.
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, pengkritik boleh memilih sama ada untuk terus berada di belakang menafikan kemajuan itu dan golongan itu boleh naik kereta yang dibuat daripada buluh.
Katanya, kecaman itu perkara biasa, tetapi apa yang perlu sekarang adalah fokus kepada pembangunan modal insan dan lebih memberikan pembelajaran ilmu kepada isu supaya tidak mahu masyarakat tertinggal ke belakang.
Ahli Parlimen Sandakan meninggal dunia akibat serangan jantung
Ahli Parlimen Sandakan, Datuk Stephen Wong Tien Fatt meninggal dunia akibat serangan jantung hari ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr. Kelvin Yii menerusi laman Facebook beliau sebentar tadi.
Wong merupakan Pengerusi DAP Sabah dan merupakan Ahli Parlimen Sandakan Selama dua penggal.