1.Gojek boleh undang fitnah: Mufti Selangor
Pengenalan perkhidmatan teksi motosikal atau dikenali sebagai Gojek dilihat boleh mengundang fitnah.
Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid, berkata penunggang GoJek kebanyakannya lelaki, manakala pelanggan pula boleh terdiri daripada wanita.
Katanya, GoJek sudah dilihat tidak sesuai kerana penunggang dan pelanggan adalah bukan mahram.
Sama juga dengan keadaan sekiranya penunggang wanita dan pelanggan adalah lelaki, ia tetap bukan mahram.
Semalam, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata Kabinet mengarahkan Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Belia dan Sukan membuat kajian berhubung mekanisme pelaksanaan selain undang-undang berkaitan khusus untuk perkhidmatan Gojek di Malaysia.
2.Paul Yong mengaku tidak bersalah
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak, Paul Yong Choo Kiong, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini, atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia 7 Julai lalu.
Tertuduh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu, didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Wakil rakyat itu didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa warga Indonesia berusia 23 tahun antara 8.15 malam hingga 9.15 malam 7 Julai lalu, di sebuah bilik di tingkat atas rumah di Desa Meru 2, Meru Desa Park, Meru Raya, Ipoh.
Sumber Video: KINITV
3.Malaysia terus jadi transit pengedaran dadah dunia: Kastam
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas dadah jenis ketamin dan kokain bernilai RM676 juta dalam dua serbuan berasingan pada Ahad lalu, di Selangor.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Paddy Abd Halim berkata, dadah yang dirampas dalam serbuan yang dibuat pada Op Soda itu dipercayai menjadikan Malaysia, sebagai transit sebelum kesemua bahan terlarang itu dieksport ke negara jiran.
Katanya, dadah-dadah berkenaan dibawa masuk dari Pakistan dan Ecuador, melalui Pelabuhan Klang, Selangor sebelum disembunyikan di dua premis berasingan.
Tambahnya, rampasan itu dipercayai merupakan rampasan terbesar dalam sejarah PDRM serta di rantau ASEAN dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti negara terbabit.
4.Jangan jadi ‘batu api’ isu perkauman
Rakyat Malaysia perlu menjadi lebih matang dalam usaha memupuk perpaduan negara dan mengeratkan hubungan antara kaum di negara ini.
Tokoh bahasa dan budaya, Prof Datuk Dr Nik Safiah Karim berkata, rakyat perlu jauhi sikap suka mengapi-api kerana ia hanya akan merosakkan perpaduan.
Tambahnya lagi, bimbang akan wujud ketidakfahaman kaum di negara ini apabila ada pihak bersikap mengapi-apikan keadaan.
Jika di lihat, semakin ramai orang yang melompat-lompat untuk mempertahankan benang yang basah. Mereka mahu menunjukkan kebijaksanaan masing-masing dengan kenyataan yang tidak sepatutnya,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian, ketika mengulas kerisauan wujudnya situasi tidak tenteram antara kaum di negara ini.
5.Harry-Meghan dikecam guna jet peribadi
Pasangan diraja Britain, Putera Harry dan Meghan Markle dikecam kerana menaiki jet peribadi untuk pergi bercuti, manakala abangnya William dan Kate Middleton, memilih untuk menggunakan penerbangan tambang rendah ke Scotland.
Pasangan Duke dan Duchess of Cambridge itu menaiki penerbangan Flybe berharga 73 Pound Sterling seorang, bersama anak-anak mereka, George, Charlotte dan Louis berusia setahun pada Rabu lalu.
Ia berlaku beberapa hari selepas Harry dan Meghan yang menyokong kempen alam sekitar, menaiki jet peribadi ke Nice dan Ibiza dalam tempoh 11 hari.
Bagaimanapun, jet peribadi menghasilkan pelepasan karbon dioksida, tujuh kali lebih tinggi, berbanding pesawat komersial.
Sumber Video: Royal Inquisitor