Banyak lagi ‘peluru’ akan ditembak di Semenyih: Najib
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi bayangan beliau akan turun lagi ke Semenyih bagi membantu kempen BN dalam menghadapi PRK DUN Semenyih.
Berucap di hadapan penyokong BN di Flat Baiduri, Bandar Tasik Kesuma, malam tadi, Ahli Parlimen Pekan itu menegaskan beliau masih ‘menyimpan peluru’ dan akan menyerang lagi nanti.
Dalam pada itu, Najib mengingatkan rakyat Semenyih supaya tidak memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan kerana mereka telah ‘menipu’ berulang kali.
Katanya, sebagai pengundi, mereka perlu memberikan isyarat kepada siapa yang tipu, bohong rakyat, nanti rakyat akan hukum dia sewaktu pilihan raya.
Dalam pada itu, Najib merakamkan ucapan terima kasih kepada rakyat Semenyih ekoran sambutan hangat diterima ketika beliau mengunjungi sebuah pasar raya di kawasan tersebut baru-baru ini.
Anggota tentera ditahan cetak wang palsu tampung kos kahwin
Terdesak menampung perbelanjaan majlis perkahwinannya, seorang anggota tentera mengambil jalan pintas dengan mencetak wang palsu bernilai RM4,000 menggunakan mesin pencetak di pejabatnya sejak awal bulan ini.
Bagaimanapun, kegiatan licik lelaki berusia 28 tahun itu terbongkar apabila membuat laporan polis dengan mendakwa menerima wang palsu itu dari sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Jonathan Ringgit berkata, suspek membuat laporan polis tengah hari Sabtu dengan harapan pihak bank dapat menukarkan wang palsu itu dengan wang tulen.
Katanya, siasatan polis mendapati suspek menyerahkan wang berkenaan kepada tunangnya, namun keaslian wang tersebut dicurigai dan suspek dinasihati membuat laporan polis selepas mendakwa mengeluarkan wang itu dari ATM.
Beliau berkata, suspek yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 30 Mac depan, ditahan Sabtu dan polis merampas 25 keping wang kertas RM100 dan 30 keping RM50 serta seunit mesin pencetak.
Ugut bunuh: Uncle Kentang tak lapor polis
Calon Bebas, Kuan Chee Heng tidak bercadang untuk membuat laporan polis berhubung ugutan bunuh yang diterimanya melalui panggilan telefon malam semalam.
Menurut, beliau menganggap individu tersebut tidak matang dan enggan melayan ugutan dari lelaki berkenaan.
Namun, beliau yang dikenali sebagai Uncle Kentang tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis sekiranya menerima ugutan seumpama itu selepas ini.
Malam semalam, Chee Heng mendakwa menerima ugutan bunuh dia dan keluarga dari seorang lelaki tidak dikenali kira-kira jam 8.30 malam.
Letupan gegar kawasan pakir lokasi debat presiden
Satu letupan berlaku di kawasan parkir, yang terletak tidak jauh dari Hotel Sultan di Jakarta, tempat berlangsungnya Debat Pemilihan Presiden (Pilpres) Indonesia 2019.
Letupan yang belum disahkan puncanya oleh pihak berkuasa itu, menyebabkan orang ramai yang terdiri daripada para penyokong Joko Widodo yang akan mempertahankan jawatannya pada Pilpres 2019, dan para penyokong seorang lagi calon Pilpres, Prabowo Subianto, yang berkumpul di kawasan itu, bertempiaran lari.
Debat Pilpres pusingan kedua berlangsung di Hotel Sultan bermula jam 8 malam itu terletak kira-kira 300 meter kawasan letupan, tetapi tetap berlangsung seperti biasa selepas letupan itu berlaku kira-kira jam 8.15 malam.
Putera Arab Saudi bida RM20 bilion beli Manchester United
Putera Mahkota Arab Saudi Mohammad Salman meningkatkan bidaan untuk mengambil alih Manchester United kepada 3.8 bilion pound (RM20 bilion) dengan harapan dapat menjadi pemilik baharu kelab itu musim depan.
Kerabat diraja Saudi yang nilai kekayaan keluarganya mencecah 850 bilion pound (RM4.48 trilion), berharap dapat meyakinkan pemilik sekarang, keluarga Glazer untuk menjual kelab Inggeris itu.
Sumber di Old Trafford sentiasa menafikan keinginan Glazer untuk menjual United, tetapi tawaran lumayan berkenaan mungkin sukar ditolak.
Keluarga dari Amerika Syarikat itu membeli United pada harga 790 juta pound (RM4.16 bilion) hampir 14 tahun lalu tetapi kini terpaksa menanggung jumlah hutang yang tinggi.