Tutup satu tol, turun harga minyak, Semenyih menang: Rais
Tutup satu tol, turunkan harga minyak itu antara cadangan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim untuk Pakatan Harapan menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih Mac depan.
Rais mengemukan cadangan itu kepada Kerajaan berikutan kekalahan Pakatan Harapan pada PRK Parlimen Cameron Highlands kepada Barisan Nasional Sabtu lalu.
Selain tol dan harga minyak, beliau juga mahu janji kepada peneroka Felda yang dibuat Pakatan Harapan sebelum Mei 2018 perlu ditunaikan.
Sabtu lalu, Ramli Mohd Noor menang dengan majoriti 3,238 undi yang mengalahkan Manogaran yang menperoleh 8,800 undi.
KPN arah siasat anggota polis merokok di kedai makan
Tindakan sewajarnya akan diambil ke atas anggota atau pegawai polis yang didapati melanggar peraturan larangan merokok di premis makanan yang mana video melakukan perbuatan itu telah tular di dalam laman media sosial.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, berikutan itu, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut.
Menurutnya, pihaknya juga telah memaklumkan perkara itu kepada pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standart (JIPS) untuk diambil tindakan bagi mengenalpasti anggota atau pegawai yang terlibat.
Video tersebut yang berdurasi lapan saat itu memaparkan seorang anggota polis memegang rokok ketika berada di premis makanan yang merupakan kawasan larangan merokok.
‘Kerja Seperti Mahathir’: MB Johor
“Saya mengharapkan supaya kita semua mengguna pakai darjah kebesaran KSM yang saya olah menjadi ‘Kerja Seperti Mahathir’,” kata Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian di Johor Bahru, hari ini.
Osman berkata, beliau mahu semua kakitangan awam yang memilih kerjaya seperti itu untuk mencontohi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang komited dalam melaksanakan tugas diamanahkan.
Kata beliau, rutin 8 pagi hingga 5 petang dilihat tidak sesuai dengan aspirasi kerajaan semasa.
Katanya, penjawat awam perlu sentiasa produktif dinamik dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab, selain kerja dilaksanakan perlu dilakukan penuh keikhlasan.
Kerajaan cadang wujud SOP wanita tempatan kahwin warga asing
Kerajaan akan mencadangkan satu prosedur operasi standard (SOP) berhubung perkahwinan wanita tempatan dengan warga asing bagi mengelakkan mereka menggunakan hubungan itu hanya untuk tinggal lebih lama di negara ini untuk tujuan berniaga, lapor free Malaysia today.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata, SOP itu adalah bagi memastikan wanita Malaysia tidak dijadikan alat dan dipergunakan oleh warga asing.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas pengarah penguat kuasa Jabatan Imigresen, Datuk Ishak Mohamed yang menggesa kerajaan memperketatkan syarat kepada warga asing yang ingin mengahwini wanita tempatan bagi mengelakkan mereka menggunakannya hanya untuk tinggal lebih lama di negara ini.
Ishak berkata, pendaftar nikah dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) perlu bekerjasama dengan Jabatan Imigresen.
30 kakitangan KTMB tinggal sehelai sepinggang
Sebanyak 30 kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan keluarga masing-masing tinggal sehelai sepinggang apabila kuarters diduduki mereka di Jalan Lengkuk Abdullah, Bangsar, di sini hangus terbakar, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hamid Daud berkata, kebakaran melibatkan sebanyak 10 unit rumah kakitangan KTMB.
Menurut Hamid, pihak bomba menerima panggilan pada pukul 10.03 pagi dan mengejarkan 60 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai, Hang Tuah, Taman Tun, Sentul dan Seputeh ke lokasi kejadian.
Katanya, kebakaran tersebut juga telah merebak ke tingkat tujuh Flat Sri Pahang yang terletak bersebelahan namun berjaya dipadamkan sebelum merebak lebih teruk.
Tambahnya, selain rumah, sebanyak tiga buah kereta turut musnah dalam kebakaran tersebut.