10 pekerja maut, bas terjunam dalam longkang
Sepuluh pekerja MAS Kargo maut terlibat dalam kemalangan di 10 meter di Jalan S8 Pekeliling berdekatan MAS Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam semalam.
Sepuluh maut apabila bas dinaiki terjunam ke dalam longkang sedalam 10 meter di Jalan S8 Pekeliling berdekatan MAS Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Dalam kejadian jam 11.10 malam itu, bas yang dinaiki mereka terjunam ke dalam longkang se dalam 10 meter.
Ketua Polis KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, kenderaan berkenaan dalam perjalanan dari Nilai, Negeri Sembilan ke tempat kerja penumpang terbabit sebelum ia hilang kawalan dan terhumban dalam longkang itu.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati, bas itu membawa 43 penumpang warga asing yang juga pekerja kontrak MAS Kargo.
TH nafi cawangannya di Bachok kehabisan wang tunai
Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan sekeras-kerasnya laporan berita tular melalui media sosial bahawa cawangannya di Bachok, Kelantan, kehabisan wang tunai.
Pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif TH,Datuk Seri Zukri Samat berkata, laporan berita itu adalah fitnah semata-mata dan operasi TH berjalan seperti biasa dengan tiada trend pengeluaran wang tunai luar biasa dilaporkan.
Seorang wanita dalam laman Facebooknya mendakwa TH cawangan Bachok kehabisan wang tunai dan orang ramai penuh sesak membuat pengeluaran deposit.
Zukri juga berkata TH akan meminta pihak berkuasa supaya menyiasat pemegang akaun FB berkenaan, di samping mengambil tindakan undang-undang sewajarnya atas perbuatan yang tidak bertanggung jawab itu.
Bomba akan terus cari Acap sampai jumpa
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tidak akan menghentikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang dilaporkan hilang pada 23 Mac lalu, selagi tidak menemukan mangsa.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM Soiman Jahid berkata, pencarian dalam skala kecil diteruskan membabitkan radius 1 km dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Kata beliau, berdasarkan pengalaman kita, terdapat 2 kemungkinan berlaku terhadap Mohammad Ashraf, sama ada tergelincir jatuh di kawasan curam sehingga berada di tempat tersembunyi atau tersesat sehingga mengalami masalah kesihatan serta tidak sedarkan diri,” katanya.
Beliau berkata, kehilangan Mohammad Ashraf berkemungkinan seperti kes kehilangan 7 kanak-kanak Orang Asli di Pos Tohoi, Gua Musang 4 tahun lalu apabila mangsa ditemukan dalam jarak 500 meter dari lokasi mereka hilang.
Pemain golf profesional negara meninggal dunia di China
Seorang pemain golf profesional negara, Arie Irawan Ahmad Fauzi meninggal dunia ketika tidur di China, Allahyarham ke negara itu untuk bertanding dalam Kejuaraan Sanya yang juga Siri Jelajah PGA-China semalam.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan Jelajah PGA, pemain berumur 28 tahun itu ditemui meninggal dunia di hotel penginapannya di Hainan namun bedah siasat terhadap kematiannya masih belum selesai.
Sebagai tanda hormat, penganjur memutuskan untuk membatalkan pusingan akhir Kejuaraan Sanya dengan mengakhiri saingan 54 lubang.
Polis sahkan artis tumbuk pengawal keselamatan direman hari ini
Seorang artis lelaki yang ditahan selepas dipercayai menumbuk seorang pengawal keselamatan di Acacia Park Desa Jati, Nilai, Negeri Sembilan, semalam, akan direman hari ini.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar, berkata artis itu yang juga pernah menganggotai sebuah kumpulan pelawak akan ditempatkan di lokap Balai Polis Mantin malam ini untuk direman.
Terdahulu, dilaporkan seorang pengawal keselamatan berusia 68 tahun cedera selepas ditumbuk tiga kali pada bahagian muka oleh seorang artis, ketika sedang mengawal kawasan perumahan terbabit.
Dalam kejadian jam 8 malam itu, artis berusia 49 tahun berasal dari Kedah yang memandu kereta jenis Proton Perdana berwarna hitam, dilaporkan memasuki pagar pengawal keselamatan kawasan kediaman berkenaan tanpa kebenaran.
Mohd Nor Marzukee dilaporkan berkata susulan itu pengawal keselamatan kemudian bertindak menutup palang laluan keluar pos keselamatan dan mengejar kenderaan yang dipandu artis lelaki berkenaan.